SEJAK kes perceraiannya dengan bekas suami, Mohd Kamal Jaafar Sidik, pada 2009, rezeki Emma Akma, 41, dalam bidang lakonan terus merosot. Setahun dia dapat tawaran berlakon satu drama dan tawaran buat iklan komersial pun tidak kunjung tiba. Bukan tidak pergi uji bakat tetapi jawapannya hampa belaka.
Puas Emma atau nama sebenarnya, Noor Akma Yunus memikirkannya namun percuma saja kerana dia tidak menemukan jawapannya. Hendak kata kurang berbakat, lakonannya boleh tahan. Hendak dikatakan tidak cantik, masih lagi ‘bergetah’ dengan susuk tubuh semakin langsing.
Enggan terus memberi tekanan kepada diri sendiri, Emma menyibukkan diri dengan menyertai perniagaan jualan langsung dan sempena Ramadan dia menjual biskut raya dan hamper.
“Saya tidak tahu kenapa susah sangat hendak dapat tawaran berlakon dan peluang itu semakin kurang selepas bercerai. Drama terbaru lakonan saya selepas setahun tidak muncul, Dendam Orang Minyak yang sudah pun disiarkan. Sekarang tiada lagi tawaran yang datang. “Tidak mahu terus menunggu, saya aktif berniaga dan barang kali Allah mahu saya mencuba pelbagai bidang rezeki tanpa bergantung kepada satu mata pencarian saja. Saya tidak boleh bersungut kerana disebabkan itu juga saya semakin mahir dalam dunia perniagaan. Bagaimanapun, saya akan terus menunggu peluang berlakon kerana minat yang masih membara,” katanya.
Jika tahun lalu, ibu kepada Zuarin, 18 dan Dayang Izzati, 5, itu mengusung duka mengenang nasib yang menimpa diri kerana ditinggalkan suami tercinta namun tahun ini dia ingin membina semangat baru. “Tahun lepas, puas saya menangis setiap kali teringat apa yang terjadi. Puas juga saya bermuhasabah diri bertanya kenapa terjadinya perpisahan antara kami. Selepas setahun berlalu, saya menguatkan hati untuk memulakan hidup baru. Kenapa perlu terus bersedih?,” katanya. Ramadan ini, Emma menjual biskut raya buatan orang kampung di Perak yang dibungkus cantik. Empat belas jenis semuanya termasuk biskut semperit dan makmur buatan ibunya, Kamariah Alang Ahmad. “Sejak muda emak pakar buat kedua-dua jenis biskut itu. Saya tahu makan saja tetapi kalau pasal kreativiti bagi pada saya. Oleh itu raya kali ini saya turut menjual hamper rekaan dan gubahan sendiri. Biskut raya boleh ditempah sekarang sehingga Aidiladha nanti, “Jika sambutannya bagus, saya akan berniaga sepanjang tahun terutama hamper kerana ia sesuai dijadikan hadiah untuk sebarang majlis dan acara. Saya buat semuanya di rumah dengan bantuan anak. Hamper itu dijual pada harga RM50 hingga RM500 manakala biskut pula bermula dari RM35,” katanya. Biskut lain seperti biskut Cornflakes, Choco Sweeties, Gajus, Sri Pelangi, Almond London, Love Candy dan Purple Manggis. Mereka yang ingin membuat pesanan boleh hubungi Emma di 012-6855221 atau 012-6512441. Ketika Emma datang ke sesi fotografi bersama biskut dan hampernya di Balai Berita, kelmarin, turut serta menemaninya Kamal. Mereka masih berkawan baik dan mesra seperti dulu. “Kami masih berkawan dan saya pun tidak menyalahkannya di atas perpisahan itu kerana puncanya bukan dari dia. Pihak lain yang mengganggu rumah tangga kami dan saya pasrah jika setakat itu ikatan kami. Kamal ingin kembali pada saya tetapi kami sudah tiga kali bercerai, mana mungkin kami dapat bersama lagi. “Apapun terjadi saya akan terus mencari kebahagiaan bersama lelaki yang dipanggil suami. Tidak serik kerana sesuatu yang berlaku pasti ada rahmatnya. Insya-Allah, saya akan berjumpa juga lelaki yang baik buat menemani hidup sehingga ke akhir hayat saya. “Ada jodoh saya kahwin. Apa jua ketetapan Ilahi pada masa depan, saya terima,” katanya.
google: emma akma, emma akma bercerai, emma akma berniaga, emma akma hamper, emma akma biskut raya, emma akma perceraian, emma akma berpisah, emma akma dan suami, emma akma ramadhan, emma akma raya, emma akma jual hamper
20 August 2010
Emma jual biskut raya, hamper
Posted on 6:22 AM by macammacamcerita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


0 comments:
Post a Comment