22 August 2010

Karl Shafek, Masih mencari teman istimewa

DIA nekad meninggalkan karier sebagai pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) demi mengejar cita-cita menjadi pengacara popular. Itulah yang dilakukan pelakon dan pengacara program Chopp! untuk TV9, Karl Shafek atau nama sebenar, Khairul Shafek Ibrahim, 30.

Katanya, dia yakin keputusan yang dibuat itu tepat kerana memang impiannya untuk menjadi pengacara, sejak dulu.

"Saya berani membuat keputusan itu kerana mendapat tawaran bagus dari TV9 untuk menjadi wartawan penyiaran. "Saya juga diberi peluang TV9 untuk buat segmen dalam Nasi Lemak Kopi O dan menyusul selepas itu, sebagai pengacara Chopp!. "Kini, lebih setahun saya menjadi pengacara Chopp! bersama artis lain seperti Intan Ladyana, Lidya Ibtisam dan Sari Yanti. Bagaimanapun, Sari Yanti bercuti kerana berpantang selepas bersalin." katanya.


Sebelum menjadi pramugara MAS, Shafek pernah menjadi pengacara program Hits1 untuk RTM. Pemegang Diploma Multimedia TV3 ini berkata, Chopp! adalah program hiburan, gaya hidup artis dan fesyen serta penuh variasi. "Program itu memang serasi dengan jiwa saya. Saya adalah antara artis yang menjadi perintis Chopp!. Artis lain ialah Aidit Marcello, Aliff Satar dan Iqram Dinzly," katanya.


Mengenai lakonannya dalam drama bersiri Aalia untuk Astro, Shafek akui dia menyukai karakternya sebagai Halim dalam cerita itu.


"Saya bawa watak pembantu yang tidak kurang pentingnya dalam drama diterajui Zaryn Min sebagai Aalia. Halim adalah watak baik dan dia sering membantu Aalia apabila berada dalam kesusahan. Halim adalah tulang belakang Aalia. "Apa yang menarik, saya dapat pengalaman bekerja dengan pengarah dari India, Anurag dalam cerita ini. Saya dan semua pelakon lain terpaksa berkampung selama lima bulan di lokasi penggambaran semata-mata untuk menjayakan Aalia," katanya.


Shafek juga membawa watak utama dalam telefilem Anakku Artis yang disiarkan tahun lalu. Drama lain lakonannya ialah siri Hotel Mania (TV3) dan Tekno Fobia.


Kata Shafek, dia tidak kisah jika ditawarkan watak pembantu kerana ingin mengasah bakat dalam bidang lakonan.


"Saya juga minat berlakon dan mencuri masa untuk berlakon jika tidak terbabit dengan pengacaraan. Saya memang lebih meminati bidang pengacaraan berbanding lakonan. Namun, apa salahnya, saya kembangkan bakat bila dapat tawaran berlakon.


"Sama ada saya berbakat atau tidak dalam lakonan, biarlah orang yang menilainya. Saya juga ingin mencuba pelbagai watak selepas ini. Sebelum ini saya sudah mencuba watak baik dalam Aalia dan terbaru, saya dapat tawaran bawa watak budak punk pula," katanya. Menurut Shafek, dia tidak terikat dengan TV9 dan bebas untuk berlakon dengan mana-mana produksi. Bagaimanapun katanya, ada produser yang takut mengambilnya berlakon kerana mereka fikir dia terikat dengan TV9. "Saya hanya pengacara program TV9 saja," katanya.


Pada Ramadan ini, kata Shafek yang juga anak ketiga dari empat beradik sibuk memenuhi undangan sebagai pengacara dan majlis berbuka puasa yang dianjurkan pelbagai pihak. "Sempena Ramadan ini, fokus Chopp! adalah mengenai bulan puasa dan perkara berkaitan puasa. Saya bergandingan dengan Lidya dalam program ini dan Intan pula bersama Tam Suhaimi," katanya. Dalam perkembangan lain, Shafek yang pernah putus cinta dengan pramugari Mas juga mengakui masih mencari teman istimewa untuk mengisi kekosongan hatinya.


"Kalau boleh saya ingin calon isteri dikalangan orang biasa saja kerana kerja saya tidak tentu masa. Saya juga sasarkan sebelum usia 35 tahun untuk menamatkan zaman bujang," katanya.
Reactions:

0 comments:

Post a Comment