NAMPAKNYA personaliti TV ini tidak serik-serik dengan apa yang berlaku sebelum ini. Selepas menggemparkan seketika stesen tempat dia bekerja dengan cerita tak senonoh membabitkan dirinya, kali ini dia muncul dengan satu lagi kisah sensasi yang mana kalau ada sesiapa mendengarnya pasti akan berkata: "Padan dengan mukanya".
Personaliti ini sebenarnya tidaklah popular mana, tetapi perasan yang dirinya macam diva di stesen TV terbabit. Memang ramai yang menyampah dengan perangainya itu, tetapi mereka malas nak bersuara sebab khabarnya dia cukup baik dengan pihak atasan. Jadi, geram macam mana pun, terpaksalah mereka pendam rasa begitu saja.
Bagaimanapun, kejadian yang berlaku kepada personaliti ini baru-baru ini sudah membuatkan ramai pihak yang tak berkenan dengan perangainya, bertepuk tangan tanda gembira. Menurut sumber Cik Normah, personaliti yang disangka janda ini sebenarnya pernah berumah tangga dengan seseorang berpangkat Datuk, tetapi sebagai isteri kedua.
Perkahwinan itu bagaimanapun berlangsung senyap-senyap tanpa pengetahuan isteri pertama. Namun, bak kata orang, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Suatu hari, suami personaliti itu sakit. Disebabkan tindakan tidak cermat personaliti terbabit yang beriya-iya mahu melawat suami kesayangannya, akhirnya rahsia yang disimpan rapi itu terbongkar juga.
Apa lagi, berlakulah adegan perang mulut membabitkan dua wanita tadi. Nasib baiklah personaliti itu tak kena ganyang dengan isteri pertama. Kalau tidak, habislah wajah jelitanya. Tak pasal-pasal kena buat pembedahan plastik pula nanti. Tambah sumber Cik Normah lagi, disebabkan insiden perang itu, akhirnya personaliti ini pun diceraikan si suami. Kasihan pula Cik Normah mendengarnya.
Begitupun, Cik Normah memang tabik spring dengan personaliti ini kerana khabarnya selepas bercerai, dia tidak menunggu lama untuk mencari pengganti.
Dia kini sudah pun bertemu orang yang dicari-cari dan pasangannya itu pula bukan calang-calang lelaki. Masih berpangkat Datuk, malah berstatus bujang lagi.
Pandai sungguh personaliti ini tangkap ikan jerung. Sikap hari bulan, boleh buka bengkel bagaimana untuk menawan hati lelaki berpangkat bagi wanita yang masih belum berpunya. Cik Normah cuma berharap, personaliti ini akan bertemu kebahagiaan dengan lelaki pilihannya itu. Kalaulah personaliti ini jadi melangsungkan perkahwinannya, jangan lupa layangkan kad jemputan ke meja Cik Normah dan rakan-rakan. Jangan pula nikah senyap-senyap lagi sekali.
25 August 2010
Personaliti TV dapat pikat 'ikan jerung'
Posted on 8:27 AM by macammacamcerita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


0 comments:
Post a Comment