Mahu atau tidak, sudah pasti hati tersentuh pilu apabila pada saat orang lain saling kunjung mengunjungi pada hari raya, diri sendiri muncul di kaca televisyen menyampaikan berita-berita terkini.
Namun bagi para personaliti TV3, hati yang sedih akibat tidak dapat bercuti raya segera terubat apabila menyambut pagi hari raya bersama rakan-rakan di pejabat.
Sebab itu, kata penyampai-penyampai berita TV3 seperti Mior Abdul Malek Rayani dan Azwaliza Azman, mereka tidak kisah jika bertugas pada hari raya demi menunaikan tanggungjawab kepada syarikat dan masyarakat.
Manakala Azizah Ariffin dan Teh Syuhada Sharip tetap mengingati kenangan indah bertugas di pagi raya walaupun kini mereka terlibat dalam program bual bicara, Wanita Hari Ini.
Malek kali kedua bertugas
Memasuki tahun kedua, jejaka kacak berusia 27 tahun ini tidak lagi merasai kesyahduan bertugas pada hari raya terutama pada pagi raya pertama berbanding tahun lalu.
Biarpun mengakui hati sedikit sebanyak tercuit sayu apabila mendengar alunan takbir yang indah, perasaan itu segera dibuang jauh-jauh apabila berkumpul bersama-sama rakan di studio.
Dia yang berkhidmat dengan TV3 sejak 2008 berkata, suasana hari raya pantas mewarnai ruang studio apabila dia dan rakan-rakan memakai baju melayu dan baju kurung sambil berpakat membawa juadah seperti lemang, ketupat dan rendang.
"Tahun ini, saya bertugas sehari sebelum hari raya hingga Syawal ketiga, raya keempat barulah saya balik bercuti di kampung di Seri Iskandar, Perak.
"Pada hari raya pertama, saya berada di studio seawal pukul 5 pagi untuk membaca berita bagi Buletin Pagi," kata graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu yang turut menyampai Berita Terkini.
Malek yang merupakan anak keempat daripada lima beradik berkata, keluarganya memahami tuntutan tugas yang tidak mengizinkan dia menyambut 1 Syawal di kampung seperti orang lain.
Katanya, kepulangan pada hari raya keempat lalu digunakan sepuas-puasnya untuk menikmati juadah kegemaran seperti laksa utara dan rendang daging.
"Kerja seperti saya ini perlu bertolak-ansur antara satu sama lain apatah orang bujang seperti saya. Tengoklah, harap-harap tahun depan dapat pula saya bercuti awal untuk menyambut Aidilfitri," selorohnya yang juga seorang penerbit di TV3.
Wawa sanggup beralah
Sedar tidak sedar, sudah 10 tahun wanita berwajah manis ini berkhidmat di TV3 dan enam kali bertugas pada hari raya.
Azwaliza Azman, 29, berkata, sudah alah bisa tegal biasa adalah jawapan tepat bagi menggambarkan perasaannya berbanding ketika mula bekerja dahulu.
Azwaliza atau mesra dipanggil Wawa berkata, dia sanggup bertugas lagi pada hari raya tahun ini kerana berhasrat melangsungkan perkahwinan pada tahun depan.
"Saya sanggup beralah untuk bekerja pada hari raya tahun ini kerana ingin mengambil cuti pada hari raya tahun depan.
"Majlis perkahwinan saya masih lagi dalam perancangan sama ada berlangsung awal tahun atau pertengahan tahun depan," katanya yang bertunang dengan Kadir Rashid, 31, pada November tahun lalu.
Azwaliza yang sering yang muncul di kaca televisyen menyampai berita Buletin Utama memberitahu, pengalaman bekerja pada hari raya menjadi satu kenangan yang tidak dapat dilupakan dalam hidupnya.
Ini kerana kata Penolong Pengarang Berita itu, dirinya dianggap bertuah dapat bertugas pada majlis rumah terbuka tiga Perdana Menteri pada hari raya pertama sebelum ini.
"Pengalaman membuat lintas langsung di majlis rumah terbuka Datuk Seri Najib Razak, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad cukup istimewa bagi saya.
"Macam-macam peristiwa yang berlaku apabila terpaksa bersesak dengan puluhan ribu pengunjung hingga keadaan menjadi kelam-kabut apabila ada mengganggu lintas langsung itu," kata graduan Malaysian Institute of Integrative Media (MIIM) tersenyum mengenangkan memori itu.
Bercakap tentang sambutan Syawal ini, Azwaliza yang bekerja hingga hari raya keempat lalu memberitahu, dia tidak boleh melupakan juadah kegemaran seperti kuih kacang, nasi himpit dan rendang ayam.
Kata anak bongsu daripada tiga beradik itu, status anak manja tidak ada dalam dirinya kerana dia turut mahir menyediakan masakan seperti rendang.
Azizah terkenang plaza tol
Bagi penerbit Wanita Hari Ini dan Semanis Kurma ini, walaupun tidak lagi bertugas pada hari raya, dia mengakui terasa syahdu apabila mengenangkan saat-saat yang dilalui antara 1997 hingga 2003.
Kata wanita berusia 41 tahun ini, ini kerana ketika menyertai TV3 dia sudah berkahwin dan memiliki anak.
Ini menyebabkan personaliti yang berasal dari Pulau Mutiara ini sering berfikir bagaimana perasaan permata hatinya menyambut hari raya tanpa ibu di sisi.
"Bila sudah berkeluarga, itulah pengorbanan yang perlu dihadapi orang media apabila meninggalkan anak-anak di rumah pada hari raya.
"Itulah perasaan yang membezakan orang bujang dan yang berkeluarga apabila bertugas pada hari raya. Kalau masih bujang mungkin tidak terasa sangat kerana belum ada anak dan perasaan sedih mungkin lebih ingatkan ayah ibu di kampung," katanya yang sudah 13 tahun berkhidmat di TV3.
Mengimbas nostalgia lalu, Azizah memberitahu, pengalaman bertugas ketika penghujung Ramadan tidak dapat dilupakan kerana perlu melakukan lintas langsung di plaza-plaza tol dan stesen bas dan keretapi serta pusat membeli-belah.
Katanya, ini kerana selain bertugas, dia dan rakan-rakan turut terlibat mengedar risalah sambutan Hari Raya dan wang raya kepada orang ramai.
"Memang penat ketika itu tetapi seronok walaupun terpaksa berkejar-kejar ke sana sini tanpa menghiraukan cuaca panas.
"Tetapi perasaan paling syahdu apabila bertugas pada malam raya kerana suasana ketika itu mula sunyi apabila hampir semua warga kota sudah pulang ke kampung halaman tetapi saya masih di studio," kata graduan UUM ini tersenyum manis.
Ditanya sambutan Syawal kali ini, Azizah berkata, dia dan suami serta tiga anak lelakinya pulang beraya di Masjid Tanah, Melaka.
Namun sebagai ibu yang prihatin, dia tetap risau apabila mengenangkan anak keduanya akan menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula Selasa ini.
"Anak-anak tak boleh sangat terlalu seronok menyambut Aidilfitri tahun ini terutama yang nombor dua. Malah, anak sulung saya juga akan menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak lama lagi," katanya yang sedih kehilangan ibu pada Syawal tahun lalu.
Teh Syuhada pertama kali dapat cuti
Ada sebab kenapa wajah wajah pengacara Wanita Hari Ini tersenyum riang dan berseri-seri. Ini kerana sejak berkhidmat di TV3 bermula 2004, inilah kali pertama Teh Syuhada Sharip dapat bercuti pada hari raya.
Kata wanita berusia 31 tahun ini, sambutan Aidilfitri tahun boleh ini dianggap paling bermakna kerana dapat melakukan apa yang dihajati pada pagi hari raya pertama.
Bekas pengacara program 999 itu memberitahu, antara perkara yang ingin dilakukannya adalah mengunjungi pusara ayah selepas sembahyang raya berbanding tahun lalu pada hari raya keempat.
"Banyak pengalaman sebenarnya apabila bertugas di TV3 ini. Sebagai orang bujang, saya sudah biasa berbuka puasa selama sebulan di pejabat.
"Malah, sepanjang lima tahun lalu, saya sentiasa diminta 'standby' di pejabat dan dipanggil mengejut untuk bertugas pada hari raya," kata pemenang tempat kedua Malaysian Top Host 2004 ini.
Pemegang Sarjana Muda Pengajian Perniagaan, Universiti Teknologi Mara ini sempat menitip pesanan kepada golongan remaja yang berhasrat menceburi dunia kewartawanan penyiaran.
Kata anak keempat daripada lima beradik ini, istilah mengejar glamor perlu dielakkan kerana apa yang penting keinginan dan usaha tinggi untuk melakukan pengorbanan.
"Kepada mereka yang berminat, pengorbanan emosi cukup penting terutama apabila bertugas pada hari raya.
"Ketika itu barulah kita tahu bagaimana hendak mengawal emosi sedih berpisah jauh dengan keluarga," katanya yang akan pulang beraya di Seremban, Negeri Sembilan.
Berkongsi cerita tentang juadah kegemaran sempena Aidilfitri ini, katanya sudah tentu masakan pedas seperti rendang ayam dan daging Negeri Sembilan perlu berada di atas meja makan.



0 comments:
Post a Comment